Cintai Saudaramu Kerana Allah

Jangan-Menjadi-Penolong-Setan-Terhadap-Saudaramu

Rasa diri disayangi dan dicintai oleh  seseorang itu sangat bermakna buat diri kita  yang dahaga kasih sayang sesama manusia.  Perasaan cinta dan sayang ini lahir dari hati  yang tulus dan ikhlas.
 
Cinta yang dikehendaki oleh Allah ialah cinta  kerana Allah sepertimana hadis daripada Mu‘az  bin Anas al-Jahni yang meriwayatkan bahawa  Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
 
“Sesiapa sahaja yang memberi kerana Allah,  menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah,  membenci kerana Allah dan menikah kerana  Allah, maka bererti ia telah sempurna  imannya.” (Riwayat al-Hakim)
 
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w.  bersabda yang bermaksud: “Sesiapa pun tidak  akan merasakan manisnya iman, sehingga ia  mencintai seseorang hanya kerana Allah  semata.” (Riwayat al-Bukhari)
 
Berikut antara sifat-sifat orang yang mencintai saudaranya kerana Allah:
 
1. Mendoakan saudaranya
 
Ingatan yang tulus itu tergambar dengan  iringan doa kepada sahabatnya walaupun kita  tidak berada bersama-samanya. Ganjarannya  sangat besar untuk kedua-duanya. Diriwayatkan  bahawa nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:  “Sesiapa yang mendoakan saudaranya pada saat  dia tidak bersama-samanya, maka malaikat yang  diamanahkan untuk memjaga dan mengawasinya  berkata: ‘Semoga Allah mengabulkan dan bagimu  semoga mendapat yang sama dengannya.”(Riwayat  Muslim)
 
2. Mengunjungi
 
Disunatkan bagi kita mengunjungi saudara kita  untuk bertanya khabar dan mengeratkan lagi  hubungan silaturahim. Kunjung-mengunjungi  dengan hadir bersama buah tangan dapat  menguatkan lagi rasa sayang dan menjadi tanda  bahawa kita mengambil berat tentang dirinya.
 
3.Memberi Bantuan 
 
Pertolongan dan bantuan segera dihulurkan  kepada saudara kita yang memerlukan. Kita  seharusnya sentiasa berusaha membantu  memenuhi keperluan saudara Muslim yang lain  dan berusaha menghilangkan segala  kesusahannya. Kepayahan dan kesusahan yang  dialami oleh saudara kita itu dapat ditempuhi  bersama. Kita akan berasa bahagia apabila saudara kita bahagia.
 
4. Melakukan Perkara yang Disukai
 
Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam kitab  al-Saghig Rasulullah s.a.w. bersabda yang  bermaksud: “Sesiapa yang menemui saudaranya  yang Muslim dengan menampakkan perkara yang  disukainya kerana ingin membahagiakannya,  maka Allah akan memberikan kebahagiaan  kepadanya pada hari kiamat.”
5. Penampilan Wajah Berseri-Seri
 
Seorang Muslim menemui saudaranya dengan  wajah yang berseri-seri dikira sebagai satu  amal kebaikan. Diriwayatkan daripada Abu Zar,  ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda  yang bermaksud: “Janganlah meremehkan  kebaikan sedikit pun, walau sekadar bertemu  dengan saudaramu dengan wajah yang berseri- seri.” (Riwayat Muslim)
 
6. Memberikan Hadiah
 
Memberi buah tangan atau hadiah kepada  saudara kita sangat digalakkan. Rasulullah  s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kalian harus saling memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai.” (Riwayat al-Bukhari)
 
Termasuk memberikan balasan hadiah yang  setimpal adalah jika seorang Muslim  mengatakan kepada saudaranya:
 
“Jazakaflah  khairan” ertinya semoga Allah membalasmu  dengan kebaikan. Al-Tirmizi meriwayatkan  daripada Usamah bin Zaid, bahawa Rasulullah  s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang  diberi kebaikan kemudian ia berkata kepada  orang yang memberikan kebaikan: ‘Jazakallah  khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan  kebaikan), maka sungguh dia telah memberikan  pujian yang sangat baik.”
 
7. Memberi Maaf
 
Bermaaf-maafan antara saudara harus menjadi  amalan semua umat Islam kerana ia akan  memelihara keharmonian sejagat. Kita juga  tidak harus menyimpan rasa dendam kerana ia  akan menimbulkan kebencian. Kebencian akan  membuatkan umat Islam berpecah belah. Tidak  ada manusia yang tidak melakukan kesilapan. Dengan memberi maaf, semoga kita juga akan dimaafkan.
 
8. Menyimpan Rahsia 
 
Wajib menjaga rahsia seorang Muslim. Abu Daud  dan al-Tirmizi meriwayatkan daripada Jabir,  sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang  bermaksud: “Jika seseorang berkata kepada  orang lain dengan suatu perkataan, kemudian  ia menoleh (melihat sekelilingnya), maka pembicaraan itu adalah amanah.” Amanah ini  merupakan perkara yang amat berat untuk  dijaga.
 
MAHMUDAH VS MAZMUMAH
 
BANGUN AWAL
 
Hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Berpagi- pagilah kalian (memulakan aktiviti pada awal pagi) untuk mencari rezeki dan keperluan. Sesungguhnya ia membawa keberkatan  dan kejayaan.” (Riwayat al-Tabarani)
 
Siapa sangka di sebalik saranan Nabi s.a.w.  supaya bangun awal pagI untuk beribadah  padanya, terselit hikmah kesihatan dan magnet menarik rezeki. Mengapa begitu?
 
Ini kerana mereka yang bangun awal dapat  memulakan hari dengan lebih bertenaga dan bermotivasi untuk melakukan kerjaseharian. Bagi pelajar, belajar dan mengulang kaji pada awal pagi lebih  memberikan suasana yang segar dan nyaman  untuk menerima ilmu. Tetapi harus diingat,  bagi mendapatkan dan memulakan hari dengan baik, tidur yang cukup harus diutamakan.
 
Mereka berada dalam golongan yang berjaya  kerana bijak mengatur masa. Mereka bangun  seawal pagi bagi mengambil keberkatan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya  orang yang bertakwa ditempatkan di dalam taman-taman syurga, dengan mata air-mata air  terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang  diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka.
 
Sesungguhnya mereka di dunia dahulu orang  yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu  malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu  akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka  selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).” (Surah al-Dhariyat 51: 15-18)
 
Berhati-hatilah dalam memberi masa tidur  kepada diri sendiri. Tidur yang mencukupi  sekitar 6-8 jam sehari. Sekiranya tidur kurang atau lebih daripada itu, badan akan  letih dan lesu.
 
BANGUN LEWAT
 
Jika difikirkan tentang tanggungjawab yang perlu diselesaikan sehari-hari sudah tentu kita tidak mahu terlewat bangun tidur. Kata-kata Imam Hasan al-Banna bahawa tanggungjawab yang perlu dilunasi melebihi masa yang ada, harus direnungi. Sayangnya, apabila ada juga yang mengambil kesempatan hari cuti sebagai masa untuk “membalas dendam”, lalu tidur sehingga terlebih batasan waktu.
 
Bayangkan setiap hari kita habiskan masa dengan menonton televisyen atau bersembang perKara yang sia-sia sehingga lewat malam ataupun melayari Internet tanpa tujuan baik yang jelas, hasilnya bukan sahaja kita terlewat tidur dan bangun tidur, malah kita melakukan solat Subuh “gajah”! Lebih sedih lagi, solat Subuh tersebut luput ditelan waktu, langsung tidak diganti tanpa rasa bersalah. Esok pula diulangi perbuatan yang sama kembali.
 
Mengapa ini berlaku? Sedarkah bahawa ini perkara mazmumah yang kita buat sehari-hari? Adakah kerana ia telah biasa dilakukan sehingga menjadi tabiat? Maka, mulakan esok dengan hari baru yang lebih memberi manfaat. Marilah membuat perubahan dan teruskan membaiki diri serta mengajak orang lain untuk membaiki diri mereka.
 
Semoga hidup kita lebih diberkati Allah dan terhindar daripada golongan yang rugi.
 
Sesiapa yang amalannya pada hari ini lebih baik daripada semalam, dia adalah orang yang beruntung. Sesiapa yang amalannya pada hari ini sama dengan hari semalam, dia daripada golongan yang rugi. Sesiapa yang hari ini lebih buruk daripada semalam, dia tergolong dalam golongan yang dilaknat oleh Allah s.w.t.
 
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Wahai anakku, bangunlah dan hadapilah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi daripada kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Riwayat al-Baihaqi)
search terms:
cinta kerana allah,belajar ikhlas kerana allah,kerana allah,allah berfirman tentang cinta,mengunjungi saudara kerana Allah,mencintai seseorang kerana Allah,kasih sayang allah,kasih saudaramu,hati yang di cintai allah,cintailah orang kerana Allah,cintai sauda,nabi bersabda bahawa cintai seseorang kerana 4 perkara

Apa Komen Anda

0 comments… add one

Leave a Comment